Tuesday, February 19, 2008

kesal

kenapa agaknya orang-orang kita suka ambil kesempatan? orang-orang kita yang dimaksudkan saya ni, orang-orang yang sebangsa dan sebahasa dengan kita tapi mungkin dialek yang berbeza.


Hujung minggu lepas saya ke Kuantan. Bandar yang banyak menyimpan sejarah dan kenangan zaman bermulanya bait-bait percintaan saya pada dunia seni dan binaan. Banyak sungguh perubahan di sana-sini, walau bagaimanapun saya masih gembira kerana pembangunan secara vertikal masih dalam kawalan. Maka tidak banyaklah pemandangan indah sekitar Sungai Kuantan dengan angin yang beralun lembut itu tertutup. Alhamdulilah. Kebetulannya, Pegawai Perancang yang bertugas di MPK merupakan senior saya di kampus dulu. Jadi banyaklah cerita tentang Kuantan yang dapat dikongsi bersama sekumpulan pelajar saya.


Sebenarnya bukan itu yang saya maksudkan mengambil kesempatan, walaupun ia sememangnya satu kesempatan yang positif. Apa yang ingin saya kongsikan atau sebenarnya yang saya sangsikan tentang kesempatan ini adalah kesempatan yang 'mencekik'. Kesempatan negatif la tu.

Begini ceritanya....

Kami memilih untuk makan di kedai yang dari pemerhatian kami lebih ekonomi berbanding restoran mamak yang signboardnya boleh nampak dari pelbagai arah. kami masuk dan setiap orang memesan makanan. manakala saya dan beberapa orang yang lain menuju ke arah lauk-lauk yang begitu menggamit selera dan pandangan.

Dengan semangat membara ( dan agak kelaparan selepas pusing 1 bandar Kuantan), saya ambil nasi separuh, ikan goreng sederhana besarnya ( saiz M kot) dan ulam-ulaman (kacang botol dan daun tenggek burung dilengkapi sambal belacan). tak lama selepas saya duduk, datang seorang kakak mula mengira dan kemudiannya menyerahkan kertas comel bewarna merah jambu yang tertulis harga di atasnya.

4.50- begitu yang tertulis dengan dakwat warna biru. Saya hampir tersedak. sedangkan kalau di bandar kelahiran saya di selatan pun harganya tidak akan lebih RM 3.00, di bandar yang permai ini harganya lebih mahal?

Oleh kerana perut telah asyik mendendangkan lagu ghazal ( kalau diamati mungkin irama Pak Ngah Balik!) saya teruskan hajat mengisi perut saya. Selesai makan, saya mendapat ilham.

' saya rasa saya nak buat-buat kertas ni hilanglah. Saya tak puas hati ni' saya katakan begitu pada pelajar yang duduk disebelah saya.

' Try lah cik, kita buat eksperimen' pelajar saya memberi sokongan.

Jadi, selepas selesai dan ingin meneruskan aktiviti seterusnya kami membayar di kaunter, dan bila tiba giliran saya, saya katakan kertas comel bewarna merah jambu itu entah kemana ( dalam poket sebenarnya!)

' Tak pe, bagitau tadi makan apa' selepas saya memberitahu apa yang telah ada dalam perut saya ini beserta air sirap limau, harga yang saya perlu bayar adalah RM 3.40!

Saya tersenyum. Puas. Pelajar saya bertepuk tangan.

Kisah apakah ini? bukankah ini kisah mengambil kesempatan namanya?
malah ketika saya membuat temubual dengan pelancong luar negeri atau luar daerah, perkara ini sering ditimbulkan. Pengusaha tempatan suka mengambil kesempatan! walaupun tidak semuanya, tapi saya masih berasa kesal.

No comments: